Orientasi Kepimpinan Pengetua Sekolah
Penulis: Lokman Mohd Tahir dan Mohd. Anuar Abd. Rahman
Penerbit: Penerbit UTM Press, Universiti Teknologi
Malaysia
Kandungan
buku ini mengupas tentang isu yang berkait dengan kepimpinan pendidikan dan
kepengetuaan dalam konteks Malaysia, teori awal kepemimpinan yang digunakan di
sekolah, Model Kepelbagaian Orientasi Kepimpinan oleh Bolman dan Deal,
perkaedahan dan hasilan daripada proses orientasi kepimpinan pengetua secara
kualitatif serta penentuan kepada gaya atau orientasi kepemimpinan utama
pengetua dan akhir sekali tentang perbincangan dan rumusan tentang amalan
kepemimpinan pengetua di sekolah. Secara
umumnya berdasarkan kajian yang dijalankan, pengalaman mentadbir seseorang pemimpin
itu berupaya memberi banyak pendedahan secara langsung bagaimana mengurus serta
menangani masalah di sekolah. Pengetua
yang mempunyai asas latihan pengurusan lebih mengambil berat tentang kebajikan
guru berbanding dengan pengetua yang tidak mempunyai latihan pengurusan. Pengetua juga menggunakan kepimpinan yang
pelbagai mengikut ciri atau jenis sekolah yang mereka hadir. Teori Kepemimpinan Bolman dan Deal (1991)
mengatakan bahawa terdapat empat rangka kepemimpinan yang perlu diamalkan oleh
pemimpin dalam situasi yang berbeza iaitu kepemimpinan struktural yang merujuk
kepada tingkahlaku pemimpin yang mengutamakan produktiviti dan pengurusan yang
cekap. Manakala kepemimpinan sumber
manusia merujuk kepada tingkahlaku pemimpin yang menumpukan perhatian kepada
keperluan pengikut. Kepemimpinan politik
merujuk kepada pemimpin yang menggunakan kemahiran politik untuk menyelesaikan
masalah organisasi melalui sokongan, perundingan, membina hubungan, melakukan
penyatuan dengan staf dan menjana hubungan dengan individu berpengaruh dan institusi
sekitar. Akhir sekali, pemimpin dalam
kepemimpinan simbolik membina kepercayaan, menerap nilai murni dan ketaatan
melalui budaya organisasi yang membawa kepada perkongsian matlamat melalui
upacara organisasi. Kajian berasaskan
Model Bolman dan Deal masih belum begitu menyeluruh di Malaysia. Namun demikian, model ini amat sesuai
dilaksanakan dalam menentukan sama ada pengetua di Malaysia mengamalkan gaya
kepemimpinan yang pelbagai ketika mengurus sekolah atau pun tidak. Kajian ini dijangka dapat menjadi pembuka
ruang dan berupaya memberi gambaran yang mendalam melalui data empirikal
tentang kepemimpinan pengetua di Malaysia.
Sebagai kesimpulannya, berdasarkan sampel kajian 35 orang pengetua dan 2,
269 orang guru yang berkhidmat di lima jenis sekolah menengah iaitu Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) (Bandar dan Luar bandar), Sekolah Menengah Teknik
(SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Sukan dan Sekolah
Berasrama Penuh (SBP) iaitu sebanyak 35 buah sekolah didapati bahawa orientasi
kepemimpinan pengetua secara keseluruhannya dapat memaparkan dengan jelas
orientasi kepemimpinan utama pengetua sekolah menengah iaitu kepemimpinan
sumber manusia walaupun gaya kepemimpinan pengetua berbeza-beza mengikut lima
jenis sekolah yang menjadi lokasi kajian.
Kajian juga mendapati kepemimpinan pengetua amat mempengaruhi komitmen
guru terhadap sekolah. Oleh yang
demikian, pengetua perlu mempunyai inisiatif dalam mengenal budaya sekolah,
watak guru dan prasarana sekolah sebelum mengamalkan gaya kepemimpinan yang
serasi dengan jenis sekolah yang ditadbir.
No comments:
Post a Comment